Kecenderungan makan durian di kalangan penduduk Malaysia (The consumers' preference for durian in Malaysia)

Rozhan Dardak
2006 Rozhan Abu Dardak Economic and Technology Management Review   unpublished
Abstrak Kajian kecenderungan makan durian yang melibatkan 1,098 responden telah dijalankan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Kajian ini bertujuan mendapat maklumat pengguna terhadap ciri-ciri durian yang digemari dan meninjau prospek industri durian negara. Hasil kajian ini mendapati 96% responden makan durian. Penemuan ini menunjukkan terdapat penurunan sebanyak 3% terhadap kecenderungan makan durian di kalangan penduduk Malaysia dalam tempoh 11 tahun (1993-2004). Dalam tempoh
more » ... t, terdapat pengurangan bilangan buah yang dibeli dan kekerapan pembelian durian sebanyak lebih kurang 30%. Kumpulan utama penduduk yang makan durian ialah mereka yang berumur antara 21 hingga 50 tahun. Tumpuan utama tempat pembelian durian adalah di pasar terbuka seperti pasar malam dan gerai tepi jalan. Varieti durian yang menjadi pilihan utama responden dewasa melebihi 21 tahun ialah durian kampung, manakala responden remaja di bawah umur 20 tahun menyukai durian kampung dan durian klon. Ciri-ciri buah yang disukai oleh pembeli ialah bersaiz sederhana dan besar, berbentuk bulat bujur dan panjang, berwarna hijau tua kekuningan dan berbau kuat. Pembeli juga lebih gemar buah yang mempunyai isi yang tebal, berwarna kuning keemasan atau kuning tembaga, serta berasa lemak manis. Manakala bagi responden yang tidak makan durian pula, mereka terdiri daripada remaja berumur di bawah 20 tahun atau mereka yang berusia melebihi 50 tahun. Faktor utama yang mendorong mereka tidak makan durian ialah bau yang kuat dan kemerosotan kesihatan, khususnya diabetes. Selain itu, faktor ibu bapa memainkan peranan utama yang boleh mendorong remaja makan durian. Untuk mengatasi pasaran domestik yang tepu, Malaysia perlu mengeksploitasi pasaran global termasuk di negara maju yang mempunyai ramai penduduk berketurunan Asia. Pembangunan teknologi lepas tuai dan penyimpanan secara berterusan adalah penting bagi memastikan matlamat ini dicapai. Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati industri durian masih mempunyai potensi yang baik untuk dibangunkan dan menyumbang kepada ekonomi negara.
fatcat:mtdarw4yhbfpvitzuhcb5rkese