SEJARAH PERUBAHAN KAWASAN BERHUTAN DI NEGERI PERAK 1965-2010: ANALISIS DATA JABATAN PERHUTANAN SEMENANJUNG MALAYSIA DAN JABATAN PERTANIAN

Zaharah Muhammad, Shakila Yaacob
2020 SEJARAH  
Abstrak Kajian mengenai keluasan kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan yang mengambil kira keluasan kawasan berhutan berdasarkan status tanah. Kawasan yang diusahahasil untuk tujuan pertanian, perladangan, perlombongan dan kuari dikira sebagai kawasan berhutan. Ini bertentangan dengan takrifan hutan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di peringkat antarabangsa. Justeru, kajian ini akan mengemukakan data keluasan kawasan
more » ... eluasan kawasan berhutan daripada dua sumber yang berlainan iaitu daripada Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian untuk mengenal pasti trend perubahan kawasan berhutan dengan merujuk kajian kes di Negeri Perak antara tahun 1965-2010. Kajian ini menunjukkan Jabatan Perhutanan tidak mempunyai takrifan yang jelas tentang hutan dan mengira keluasan kawasan berhutan berdasarkan klasifikasi dan kegunaan hutan. Sebaliknya Jabatan Pertanian mempunyai takrifan hutan yang lebih jelas dan konsisten namun takrifan tersebut masih tidak lengkap. Takrifan hutan yang jelas amat penting bagi mengenal pasti sejarah perubahan kawasan berhutan. Abstract Studies on forested area in Peninsular Malaysia usually refer to data released by the Forestry Department that define the forested area based on land status. However, land developed for agricultural, plantation, mining and quarrying purposes are also included as segment of forested areas, in which contradict with the international definition established by Food and Agriculture Organization (FAO). Hence, this study is to identify the changing trends of the forested area using a case study in Perak from the year 1965 to year 2010. Data from Department of Forestry and Department of Agriculture is compared in analysing the trends. Findings from this study show that Department of Forestry does not have a clear definition of forested area and this proportion is calculated based on the types and usage of forest. Although Department of Agriculture indicated a consistent and clear definition of forested area, the content of it is considered as deficient. A clear definition of forest is significant to trace the history of forest transition. Pengenalan Malaysia adalah antara negara yang dianugerahkan dengan hutan hujan tropika yang diiktiraf oleh ramai ahli ekologi, ahli botani dan ahli ekonomi sebagai hutan yang sangat penting, subur, kompleks, kaya dan menjadi gedung penyimpan khazanah kepelbagaian hayat yang menyediakan perkhidmatan ekosistem untuk seluruh manusia. Malaysia telah disenaraikan sebagai negara yang mempunyai litupan hutan yang tinggi dengan kadar penyahhutanan yang tinggi (High Forest Cover with High Rates of Deforestation). 1 Pada tahun 1946, daripada keluasan keseluruhan Semenanjung Malaysia sebanyak 13,162,314 hektar 2 , 77.07 peratus daripadanya merupakan kawasan yang dilitupi hutan iaitu sebanyak 10,144,802 hektar. 3 Pada akhir tahun 2010, kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia yang masih tinggal menurut Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia hanyalah 5.86 juta hektar atau 44.5% daripada jumlah keluasan tanah. 4 Sedangkan ketika Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992, Malaysia telah memberikan komitmen kepada dunia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada tanah negara sebagai kawasan berhutan. Kajian ini mengumpulkan data statistik hutan di Negeri Perak yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan untuk tahun terpilih bagi tempoh 1965 sehingga 2010 untuk melihat trend perubahan kawasan berhutan. Data ini diperoleh daripada buku laporan perhutanan yang sebahagiannya boleh didapati sama ada di Perpustakaan Jabatan Perhutanan, Perpustakaan Jabatan Perangkaan Malaysia dan Perpustakaan Zaaba, Universiti Malaya. Kajian ini juga mengumpulkan data dalam bentuk peta guna tanah (peta bercetak dalam bentuk digital) dari Jabatan Pertanian bermula dari tahun 1966 hingga 2010 bagi Negeri Perak. Peta guna tanah ini kemudiannya didigit dan ditukar ke dalam bentuk shapefile dengan menggunakan kaedah Sistem Informasi Geografi atau Geographic Information System (GIS) untuk mendapatkan jumlah keluasan kawasan berhutan. 5 Walaupun Malaysia kaya dengan kepelbagaian hayat, namun terdapat beberapa cabaran yang dihadapi menyebabkan berlakunya trend penyahhutanan (kehilangan kawasan berhutan) yang membimbangkan. Cabaran ini datang bukan sahaja di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan tetapi juga daripada campur tangan politik dan individu. Ini ditambah dengan aktiviti NGO alam sekitar tempatan dan antarabangsa yang kerap menghebahkan data yang tidak sahih atau secara berlebihan mengenai kadar penyahhutanan di negara ini. Justeru, kajian ini amat signifikan untuk mengenal pasti data keluasan hutan daripada pelbagai pihak yang diiktiraf selain Jabatan Perhutanan, dengan kaedah pengiraan yang lebih jelas supaya polisi perhutanan yang digubal dapat menyeimbangkan antara kepentingan konservasi dan pembangunan ekonomi. Dapatan kajian ini penting bagi menggalakkan wujudnya alternatif dalam pengiraan kadar penyahhutanan bagi memastikan pengiraan yang lebih tepat dan bersesuaian dengan situasi sebenar keadaan hutan di Semenanjung Malaysia. Kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia semakin mengecil setiap tahun, pemegang taruh (lihat jadual 1) kawasan berhutan sering mengambil kesempatan mengeksploitasi kelemahan yang wujud dalam data perhutanan yang dikeluarkan oleh Sejarah: Journal of History Department, University of Malaya; No. 29 (2) 2020: 161-189; ISSN 1985-0611. 163 Jabatan Perhutanan. Pengeksploitasian oleh kumpulan berkepentingan ini menimbulkan konflik apabila masing-masing mengutamakan kepentingan politik, ekonomi dan sosial sendiri berbanding kepentingan komuniti setempat, masyarakat dan negara. Pengeksploitasian data ini menjadi salah satu sebab berlakunya penyahhutanan yang tidak terkawal. Justeru, data alternatif mengenai jumlah keluasan kawasan berhutan yang dikira dengan menggunakan kaedah yang lebih jelas amat perlu untuk melihat perubahan keluasan kawasan berhutan di Malaysia. Dengan mengenal pasti keluasan kawasan berhutan yang lebih tepat dan bersesuaian dengan keadaan semasa, maka satu polisi penggunaan hutan yang benar-benar lestari dapat diperkenalkan.
doi:10.22452/sejarah.vol29no2.9 fatcat:q5bgeoewjffmblf4u34v65xgau